Friday 1 March 2013

Fizz Fairuz - Antara Realiti Dan Sinetron Indonesia


Drama kontroversi Fizz Fairuz makin menarik dan mendebarkan, kalah sinetron Indonesia yang berbelit-belit dan meleret hingga beratus-ratus episod.

Bermula dengan berita mengejutkan pertunangan Fizz, 34, dengan Azlyn Massiela, 26, pada 10 Februari lalu kerana umum tahu selama ini Fizz bercinta dengan Almy Nadia. Sudah tentu berita itu menggemparkan peminat kerana bercinta dengan orang lain, tiba-tiba bertunang dengan orang lain.


Belum reda cerita itu, timbul pula watak baru dengan cerita lebih gempar. Fizz didatangi lelaki yang mendakwa dirinya suami Azlyn dan mengatakan dia isteri keduanya. Maknanya, Fizz bertunang dengan isteri orang! Untuk beberapa episod sepanjang minggu lalu, tiga watak ini, Fizz, tunangnya dan lelaki mendakwa suami tunangnya, menjadi tumpuan dengan cerita mereka kepada media, menjadikan drama ini tambah menarik untuk terus diikuti.

Watak Almy turut dipaparkan apabila sesekali muncul sama ada selepas berita pertunangan dan selepas berita gempar Fizz bertunang dengan isteri orang.


Kalau pada awalnya penonton bersimpati dengan Almy sebagai mangsa, kali ini mereka tentu gembira apabila rasa kecewa dan sakit hati Almy sebelum ini dibalas dengan berita memalukan itu.


Kalau diimbas semula kisah percintaan Fizz-Almy, pasangan pelakon ini berkawan selama tujuh tahun dan sejak tiga tahun lalu mengaku bercinta.

Sering ditanya bila mahu mengakhiri percintaan mereka ke jenjang pelamin, Almy serahkan kepada Fizz kerana keputusan di tangan lelaki dan Fizz pula terus memberi jawapan selamat kalau ada jodoh, mereka bersatu.


Kemuncaknya, bintang Nur Kasih itu mengatakan akan melamar Almy jika menang Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) yang berlangsung April tahun lalu.

Apabila namanya diumumkan menang, tentu ramai menyangka Fizz akan mengotakan janjinya tapi sayangnya, ia tidak begitu dan Fizz terus berdolak-dalik hinggalah cerita itu berlalu dibawa angin lalu.


Menjelang ABPBH2012 berlangsung, tiba-tiba Fizz bertunang dengan wanita lain. Majlis pertunangan itu juga diadakan secara rahsia tetapi tetap dapat dihidu media dan terus gempar dengan kisah sub plot drama ini.


Sukar untuk Fizz memberi kerjasama kepada media yang memburunya ketika itu bagi mendapatkan komennya mengenai pertunangan itu, malah dia tetap enggan menjawab panggilan telefon.


Berbeza apabila berita gempar ini berlaku. Fizz lebih mudah memberi komen melalui berita disiarkan Harian Metro sepanjang minggu lalu, diikuti kenyataan tunangnya dan komen balas Fizz di akhbar lain.


Dalam hal ini, Fizz mengatakan hidupnya seperti ‘diatur’ hingga bersetuju menghantar rombongan meminang walaupun baru kenal setahun.


Fizz seolah-olah meletakkan semua yang berlaku kepada orang lain iaitu tunangnya dan keluarga tunangnya kerana menipunya. Lebih teruk lagi, Fizz mengatakan dia seperti dipengaruhi orang lain. Senang cakap, kena sihir atau buatan orang.


Seharusnya Fizz muhasabah diri dan sedia memikul semua yang berlaku itu atas kesalahan sendiri dan bukan menuding jari kepada orang lain.


Walau pahit untuk ditelan, kita perlu melihat setiap yang berlaku itu datangnya daripada Allah dan semuanya bersebab.


Kalau ada unsur bomoh dan ilmu syirik sekali pun, ia hanya berlaku jika diizinkan Allah. Paling penting, perlu lihat ke dalam diri kita terlebih dulu.


Hakikatnya, petunjuk awal diberi apabila Fizz mungkir janji. Namanya tidak dicalonkan di ABPBH2012 yang bakal berlangsung April depan. Mungkin orang boleh kata tiada rezeki, tetapi kita juga boleh melihat ia sebagai ada sebab atas semua itu.


Apabila ramai bersimpati kepada Almy, Fizz sekali lagi ditimpa musibah apabila dapat tahu tunangnya isteri orang. Lebih tujuh tahun Fizz ‘kenal’ Almy tetapi masih belum terbuka hatinya untuk melangkah ke fasa seterusnya.


Tentu ada sesuatu yang istimewa pada Azlyn yang tiada pada Almy seperti latar keluarga hingga Azlyn boleh diterima Fizz dan keluarganya dalam waktu singkat, berbeza dengan Almy selama tujuh tahun tetapi tidak pula keluarga Fizz galakkan anaknya untuk berkahwin hingga Almy terus setia menanti dan berharap.


Semua ini harus difikirkan dengan fakta dan realiti. Betapa pantasnya hubungan Fizz dan Azlyn, begitu pantas juga kebenaran didedahkan di depan mata.


Almy dalam satu laman portal hiburan mengatakan, kisah Fizz wajar dijadikan pengajaran buat semua. Katanya, pengajaran yang boleh disimpulkan di sini ialah ia hukum karma, iaitu seseorang itu akan mendapat balasan terhadap apa yang dilakukannya.


“Nasihat saya, hargai orang yang kita sayang dan jangan sekali-kali mengabaikannya. Jangan nanti apabila kita memerlukan orang itu, sudah terlambat.” Semoga Fizz muhasabah diri dan tidak terus menuding jari kepada orang lain. Cerita ini ditamatkan dengan berita Fizz memutuskan pertunangannya dan cara yang dipilih, dengan menghantar pesanan kepada bapa Azlyn melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).


Harap drama ini berakhir di sini, jangan ada berita gempar lagi selepas ini. Sebelum ini kita pernah digemparkan dengan kes yang berlaku kepada pengarah terkenal yang berkahwin dengan isteri orang.


Perkahwinan rahsia pengarah itu akhirnya menjadi berita gempar apabila dikatakan tidak sah kerana berlangsung ketika wanita itu masih dalam tempoh edah.


Kalau Fizz baru bertunang, ini bukan saja sudah nikah, malah sudah pergi berbulan madu.


Pengarah itu kini bahagia dengan hidupnya. Semoga Fizz dan Almy juga menemui kebahagiaan dalam hidup selepas melalui episod yang mencabar ini.


Itu antara kisah yang mendapat liputan meluas. Dalam pada mereka yang menjadi selebriti dan menjadi tumpuan ramai hingga apa saja yang dilakukan menjadi bahan berita, tetapi masih berlaku perkara yang tidak disangka-sangka ini, apalah lagi dalam masyarakat biasa yang cerita mereka hanya berlegar satu kampung atau satu bandar kecil saja
Sumber - Harian Metro

No comments:

Post a Comment