Monday 4 March 2013

Siti Saida (Adik Datuk Siti Nurhaliza) - Lebih Baik Berdiam Diri




Bersih dari segala gosip liar pada mulanya, Siti Nursaida Tarudin atau mesra dengan disapa Saida mula dipalit kontroversi selepas masalah rumah tangganya mendapat liputan meluas media. Ibu kepada empat anak ini tidak minta rumah tangga yang dibina sejak 14 Disember 1996 itu berakhir pada Oktober 2011 selepas dia dan bekas suami, Mohd Ghazali Yahya Zikri bercerai dengan talak satu. Namun itu bukan penamat kepada sebuah kehidupan apabila Saida kini rancak merangka perjalanan seninya demi empat anaknya, Siti Nurul Nyssa, 16, Anas, 14, Khalid, 10 dan Siti Nurul Mashitah, 7. Mempertaruhkan single terbarunya, Cinta Kayangan yang mula diputarkan di stesen-stesen radio sejak Aidilfitri tahun lalu, Saida kini menunggu album kompilasi bersama artis lain di bawah label Global Record Sdn Bhd. Ikuti suara hati Saida sepanjang penglibatan dalam bidang seni.
 
MW: Apa perkembangan terbaru Saida?
SAIDA: Buat masa sekarang, saya masih lagi menanti rakaman untuk album kompilasi terbaru bersama rakan artis yang lain. Saya tidak berani memberi ulasan berhubung album kompilasi ini kerana semuanya di bawah Global Record Sdn Bhd. Cuma sekarang ini, single saya sudah siap dan telah pun dimainkan di corong-corong radio sejak Syawal tahun lepas. Selebihnya saya mempromosikannya melalui persembahan undangan yang diterima. Saya juga masih bertugas di Siti Nurhaliza Production (SNP) seperti biasa.
 
MW: Memegang status sebagai ibu tunggal kepada empat anak bukannya sesuatu yang mudah. Bagaimana Saida menghadapinya?
SAIDA: Ia sememangnya satu cabaran yang sukar. Bukan senang kerana apa yang berlaku sebelum dan selepas ini, kena hadapinya juga. Saya kena bergerak ke hadapan walaupun apa jua dugaan yang datang. Setiap apa yang berlaku sebelum ini sudah tertulis dan saya kena teruskan kehidupan seperti biasa serta menjadi lebih kuat.
 
MW: Apa dan siapa yang memberikan kekuatan dan semangat kepada Saida untuk mengharungi hidup sebagai ibu tunggal sendirian?
SAIDA: Sebenarnya perkara yang sudah terjadi itu biarkan ia berlalu. Anak-anak dan keluarga memberikan saya semangat dan menjadikan saya lebih kuat untuk menjalani kehidupan serta berdiri atas kaki sendiri.
Keluarga terdekat banyak membantu dan itu membuatkan hidup saya tidak terasa sunyi. Buat masa ini anak-anak yang sudah besar memahami apa yang terjadi dan mereka tiada masalah manakala anak yang masih kecil pula, saya mengambil pendekatan cuba membuatkan mereka faham.
 
MW: Kesibukan bekerja ditambah lagi dengan perjalanan seni, bagaimana Saida membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak? Apa yang Saida terapkan dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna?
SAIDA: Alhamdulillah, tak banyak perkara berubah selepas saya dan bekas suami berpisah. Pada waktu hari bekerja iaitu hari Isnin hingga Jumaat, anak-anak bersama saya. Manakala pada hari minggu, anak-anak bersama ayahnya. Saya dan bekas suami tiada masalah dalam soal ini kerana masing-masing mempunyai hak ke atas anak-anak. Saya membesarkan anak-anak dengan cara saya sendiri iaitu memastikan mereka mendapat pendidikan sepenuhnya. Walaupun sibuk dengan kerja dan kadangkala pulang lewat, saya akan pastikan
saya memantau kerja sekolah anak-anak. Tiada ibu bapa yang tidak ambil berat soal pendidikan anak-anak dan saya mahu mereka berjaya dalam pelajaran kelak.
 
 
TIDAK KISA PANDANGAN SERONG MASYARAKAT
 
MW: Masyarakat sering memandang serong golongan ibu tunggal dengan pelbagai andaian negatif. Apa komen Saida berhubung perkara ini?
SAIDA: Ia adalah perkara biasa kerana masyarakat kita memang tidak terlepas daripada memandang sinis orang lain terutama golongan ibu tunggal. Sebenarnya ia bergantung kepada individu itu sendiri dalam memberi penilaian terhadap orang lain. Kalau mereka fikir secara positif, tidak seharusnya mereka memandang negatif terhadap orang lain. Jika mereka fikir sebaliknya, mereka tidak akan melihat sesuatu perkara itu sebagai yang positif. Kita memang tidak boleh menutup mulut orang kerana mereka boleh bercakap apa sahaja.
Golongan ibu tunggal pastinya menjadi sasaran. Pada saya, setiap manusia mempunyai masalah masing-masing dan seharusnya kita tidak menjaga tepi kain orang. Tak perlu juga menjatuhkan hukuman terhadap orang lain yang kita sendiri tidak tahu punca dan sebabnya. Hidup ini akan lebih bahagia sekiranya kita bersangka dan berbuat baik dengan orang lain bukan terus menerus mencari kesalahan mereka.
 
MW: Artis baru semakin ramai, ia mewarnai industri hiburan tanah air tetapi yang tidak seronoknya apabila terdapat sebahagian daripada artis ini lebih ‘menjaja’ kisah peribadi sehingga terpalit kontroversi. Sepatutnya mereka ini lebih berkongsi cerita perjalanan seni masing-masing. Apa komen Saida berkenaan perkara ini.
SAIDA: Saya berpendapat, kontroversi itu bukan tidak perlu langsung tetapi perlu berpada-pada. Kadangkala ada juga kontroversi yang menguntungkan artis itu sendiri. Lebih baik kontroversi yang mendatangkan perkara positif daripada negatif. Dalam industri hiburan di negara ini, kontroversi itu kadangkala boleh menaikkan nama artis itu sendiri. Namun pada saya, ia tidak perlu berlebihan. Cukuplah sedikit-sedikit sahaja. Sekiranya sudah keterlaluan, lebih baik berdiam diri sahaja kerana ia pasti memberi kesan kepada keluarga. Dalam sesuatu situasi, orang akan menyatakan ‘padan muka’ kepada kita dan sebaiknya kita tidak perlu melayan orang sebegini serta terus berdiam diri. Artis juga manusia biasa, tidak lari daripada kesilapan cuma apabila berdepan dengan kontroversi melampau, lebih baik berdiam diri kerana jika berlarutan, ia akan mengaibkan diri dan tempiasnya turut terkena kepada ahli keluarga yang lain. 

Sumber - Mingguan Wanita

No comments:

Post a Comment